Wednesday, December 9, 2009

*Menempa Kejayaan Melalui Mentaliti

Anda mungkin pernah mengalami kegagalan atau tidak pernah mengecapi kejayaan dalam apa jua yang anda lakukan. Lantas, apa yang terbit di fikiran tatkala kegagalan datang bertandang ialah “kenapa aku gagal?” atau “kenapa aku tak boleh berjaya seperti orang lain?”. Hari-hari yang berikutnya pelbagai persoalan lagi timbul di benak anda menangisi kegagalan tersebut. Namun ironinya, jarang sekali kita memikirkan sedalam-dalamnya bagaimana agar kegagalan tersebut tidak berulang lagi dan belajar dari kegagalan tersebut serta mencari cara untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik supaya kejayaan bisa dikecapi. Inilah kesilapan yang sering anda semua lakukan sehingga kegagalan sering menjadi teman baik anda. Apa yang harus anda tahu, kejayaan akan datang bukan hanya berdasarkan usaha yang berterusan atau sokongan orang sekeliling, tetapi juga berteraskan minda yang cerdas dan berkeupayaan tinggi. Kerana dengan minda inilah, anda membina strategi dan melaksanakan tugasan agar sejajar dengan matlamat tugasan tersebut dan beroleh kejayaan yang diimpikan.

Atas kesedaran tentang peranan besar minda terhadap seseorang individu, maka tidak hairan pihak kerajaan juga telah meletakkan satu fokus dalam usaha mencapai RMK 9 pada pembentukan minda yang sempurna melalui satu daripada lima teras Misi Nasional iaitu memupuk minda kelas pertama. Apakah yang dimaksudkan dengan minda kelas pertama? Ianya berteraskan kepada ketangkasan melaksanakan sesuatu tanggungjawab, ketepatan kerja yang dilakukan serta keberhasilan atau ‘output’ yang berkualiti. Usaha kerajaan ini mungkin kelihatan seperti lebih bertumpu pada penjawat-penjawat awam dalam sesebuah organisasi untuk melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. Ia bertitik tolak daripada kesedaran bahawa modal insan atau manusia merupakan sumber yang paling penting dalam sesebuah organisasi, malah modal insan menjadi penggerak organisasi dan penentu kejayaan pencapaian visi, misi, objektif dan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan. Maka, pembangunan modal insan ini pula memerlukan kepada minda kelas pertama supaya elemen mikro dalam masyarakat ini memberi implikasi makro terhadap pembangunan negara.

Namun demikian, sebagai seorang insan, anda semua juga harus mengaplikasikan budaya ini dalam kehidupan anda kerana saya percaya pemilikan minda kelas pertama ini tidak mengambil kira siapa anda dalam masyarakat atau apakah peranan anda kepada pembangunan negara. Apa yang paling utama ialah anda harus memiliki keupayaan minda yang baik agar mampu bersaing dengan orang lain atau menghadapi segala cabaran di alaf baru ini. Anjakan ini seharusnya bermula dari dalam diri seorang individu. Anda seharusnya menanamkan mentaliti yang sentiasa berlegar dalam pemikiran serta tindakan anda bahawa minda kelas pertama perlu wujud dalam diri sendiri kemudian diterapkan dalam keluarga dan selepas itu barulah mampu diteruskan secara formal di sekolah-sekolah, ataupun institusi-institusi pengajian tinggi.

Jadi, apakah yang harus anda lakukan untuk menjadi seorang insan yang memiliki minda kelas pertama? Perlakuan atau sikap sebagaimanakah yang boleh dikategorikan sebagai minda kelas pertama? Hakikatnya, untuk memiliki minda kelas pertama akan menjadi lebih mudah sekiranya anda telah bersedia dengan minda yang positif dan terbuka. Hal ini kerana sikap positif yang dimiliki memudahkan anda untuk menerima dan menambah ilmu pengetahuan atau kemahiran yang disalurkan pada anda. Ingatlah bahawa faktor kejayaan seseorang itu terletak pada kecemerlangan mindanya. Tinggalkan segala sikap atau perlakuan seperti melengah-lengahkan kerja, malas, tidak teliti dan perlakuan lain yang jelas sekali tergolong dalam sikap manusia yang mempunyai minda kelas ketiga.

Oleh yang demikian, sikap yang lebih positif harus dijadikan sebagai habit dalam diri anda semua. Bermulalah pada saat dan ketika ini dengan memupuk sikap bertanggungjawab, tekun menguasai segenap ilmu, sikap proaktif, berintegriti, kaya moraliti, tidak mementingkan diri, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik agar matlamat yang diimpikan dapat dicapai dengan cemerlang. Anda juga harus mempersiapkan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran, memupuk budaya membaca, memberi sumbangan ilmu, menguasai teknologi maklumat serta prointelektual. Dengan mentaliti yang besifat kelas pertama ini, nescaya mampu memenuhi keperluan pembangunan dalam konteks individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Apakah yang akan anda dapati sekiranya memiliki minda kelas pertama? Adakah ia tidak mampu dicapai dengan minda kedua, ketiga dan seterusnya? Jawapannya pelbagai kelebihan akan anda dapati dengan mentaliti kelas pertama dan TIDAK, anda tidak akan mendapati semua itu jika anda masih belum merubah paradigma pemikiran anda. Kenapa? Biar persoalan ini dijawab dengan persoalan berikutnya. Mampukah anda menguasai ilmu pengetahuan melalui teknologi terkini sekiranya anda malas dan tidak bersungguh-sungguh memahami pengaplikasian teknologi tersebut? Mampukah anda menghasilkan satu inovasi baru sekiranya anda kurang arif dengan konsep dan logiknya, tidak mahu menerima pandangan orang lain serta tidak teliti dalam pembinaannya? Mampukah anda menang dalam perdebatan jika pengetahuan anda begitu jumud, kurang yakin, kurang berintegriti dan tidak mampu berfikir dengan rasional dan pantas? Dan akhir sekali, mampukah anda mempertahankan Negara dan bangsa anda jika pertahanan anda tidak kukuh dari segi psikologi, moraliti, fizikal, infrastruktur dan teknologi. Tepuk dada, tanyalah minda anda.

Sesuatu yang juga perlu anda sematkan dalam benak ialah betapa ramainya antara kita yang bercita-cita untuk memiliki mentaliti seperti ini tetapi malangnya ramai juga yang masih terperangkap dalam mentaliti kelas ketiga yang bersifat konservatif dan pasif. Dalam sedar atau tidak, sebenarnya hanya satu garisan halus yang memisahkan antara mereka yang berjaya beralih kepada minda kelas pertama dengan mereka yang masih terperangkap dalam minda kelas ketiga iaitu sikap. Masalah sikap inilah yang menjadi tembok penghalang untuk seseorang merubah mentalitinya. Sikap yang lahir dari perasaan selesa dengan keadaan diri dan sekeliling membuatkan individu itu terus bergelumang dalam cara hidup dan pemikiran yang lama. Perasaan cepat berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan dan apa yang disediakan pada anda walaupun kurang berkualiti dan gagal mencapai matlamat sebenar boleh menarik anda untuk terus berdiri dalam tempurung yang sama ketika orang lain telah keluar dari tempurung tersebut dan membina tempurung lain yang jauh lebih luas dan selesa.

Memiliki minda kelas pertama bukan satu kemewahan yang tampak begitu sukar digapai. Pastinya ia mempunyai kos yang perlu dibayar untuk memilikinya namun bayarannya bukan terletak pada asset atau wang dalam simpanan anda. Tetapi, pada keazaman anda untuk berubah kepada sikap yang sesuai untuk memupuk minda kelas pertama juga kepada sikap yang menunjukkan minda anda berada pada taraf kelas pertama. Ia perlu dimulakan dengan azam yang kuat bagi memulakan era pembudayaan minda kelas pertama ini.

* (Subject to change)

Thursday, November 19, 2009

Perubahan Pemikiran dalam Mengejar Ilmu

Beberapa minggu lalu, kita telah membincangkan peralihan dalam sistem pendidikan di mana ia telah mengalami satu tansformasi ke arah satu sistem pendidikan yang dikenali sebagai pendidikan abad ke-21. Antara ciri terpenting revolusi pendidikan abad ke-21 ini adalah pengaplikasian teknologi secara meluas serta perubahan peranan guru, pelajar dan sekolah. Guru, dalam konteks pendidikan abad ke-21 lebih berfungsi sebagai orchestrator dalam pembelajaran dan bukan lagi dispenser kepada ilmu pengetahuan. Manakala, pelajar pula perlu menjadi benar-benar celik media agar mampu bersaing dalam dunia globalisasi. Peranan sekolah juga turut berubah sebagai pusat yang berfungsi mewujudkan budaya ingin tahu kepada para pelajar. Persoalannya, adakah pendedahan mengenai paradigma pendidikan ini merangsang minda anda untuk berfikir tentang implikasinya atau bagaimana untuk menghadapi perubahan tersebut? Jika ya, ini menunjukkan bahawa anda telah menggunakan satu kemahiran paling intelek yang ada pada diri anda iaitu ‘berfikir’ dalam perkara ini. Anda juga sedar bahawa perubahan baru dalam trend pendidikan ini perlu dihadapi dengan cara baru, perubahan sikap dan skil yang sepatutnya. Perkara utama yang perlu diberi penekanan dalam mengharungi revolusi ini ialah kemahiran berfikir yang ada pada diri anda.


Kemahiran berfikir merupakan satu kemahiran yang perlu sentiasa ditambahbaik seiring kepantasan perubahan dunia hari ini. Menurut Edward de Bono (1976), kemahiran berfikir didefinisikan sebagai kecekapan menggunakan akal menjalankan proses pemikiran. Kemahiran berfikir secara umumnya mempunyai pelbagai definisi. Namun, para tokoh pemikir telah merumuskan berfikir sebagai proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea dan membuat pertimbangan yang wajar bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Jadi, apakah kaitan berfikir dengan perubahan sistem pendidikan kini? Kemahiran berfikir merupakan salah satu skill yang paling penting dalam abad ke 21 terutamanya bagi mengharungi proses pembelajaran dalam bentuk baru ini.


Pembaca sekalian, kuasa yang bertindak untuk menggerakkan sebuah keretapi terletak pada enjinnya. Jika sempurna enjinnya, sempurnalah perjalanan keretapi tersebut. Begitulah juga peranan kemahiran berfikir kepada manusia. Tubuh anda adalah keretapi, fikiran anda umpama enjin yang menggerakkan keretapi tersebut. Jika anda imbas kembali pada zaman awal pembuatan keretapi, kuasa wap telah digunakan sebagai enjin untuk menggerakkan keretapi. Namun, seiring dengan keperluan dan kemajuan dunia yang semakin mendesak, enjin keretapi yang berkuasa wap kini telah berubah kepada enjin yang menggunakan daya elektromagnetik atau lebih dikenali sebagai keretapi Maglev sehingga keretapi pada masa ini mampu bergerak selaju 500 km/j. Tentu anda dapat melihat transformasi yang ketara dalam enjin keretapi ini serta kelebihan yang kita semua nikmati hasil perubahan tersebut. Oleh yang demikian, jika transformasi enjin keretapi ini kita pindahkan dalam konsep fikiran manusia, sudah tentu satu perubahan yang nyata dan bermanfaat akan diperoleh daripadanya.


Dunia telah mengalami revolusi dan ia menuntut cara dan kemahiran berfikir yang baru untuk menghadapinya. Kemahiran berfikir anda harus berubah selari dengan perubahan sistem pendidikan kini agar anda semua mampu menghadapi sebarang ranjau yang semakin mencabar dalam mengejar ilmu pengetahuan. secara zahirnya, iIlmu dan pembelajaran bukan lagi satu perkara yang sukar untuk didapati pada abad ini kerana segala maklumat berada di hujung jari anda. Namun, cabarannya terletak pada bagaimana anda menilai dan menapis segala maklumat yang diperoleh dan dalam masa yang sama menganalisa serta mengaitkan maklumat baru tersebut dengan pengetahuan sedia ada atau pengalaman lampau untuk membentuk satu pengetahuan baru dalam perkara berkenaan. Semua ini memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi iaitu berfikir secara kreatif, kritis dan konstruktiv. Daya pemikiran seperti ini dikategorikan sebagai Higher Order Thinking. Selama ini, kemahiran berfikir yang sering digunakan dalam proses pembelajaran adalah menghafal dan memahami yang mana menurut Bloom (1956), merupakan tahap paling rendah dalam peringkat pemikiran yang tidak memerlukan pemikiran yang kompleks. Justeru, ia perlu ditingkatkan ke peringkat mengaplikasi, menganalisis, membuat sintesis serta mengkaji maklumat yang dipelajari.


Mungkin anda tertanya-tanya mengapa perlu pemikiran kita berubah dan ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi? Sebab utamanya adalah bagi menaiktarafkan kemahiran berfikir kita dengan dunia pendidikan yang semakin kompleks pada masa ini. Sistem pendidikan yang sempurna tidak akan dapat berfungsi dengan efisien malah akan menjadi sia-sia sekiranya individu di dalamnya tidak mampu mengejar dan mengaplikasikan ilmu dalam sistem pendidikan tersebut dengan baik. Oleh yang demikian, pemikiran yang sedia ada perlu diadaptasikan agar selaras dengan sistem kini. Perubahan pemikiran dalam setiap daripada kita juga sebenarnya akan membuatkan kita lebih berdaya saing dan secara tidak langsung dapat membantu mencapai misi nasional iaitu untuk menjadikan negara kita sebuah negara membangun serta melahirkan rakyat yang memiliki minda kelas pertama serta mampu bersaing dengan negara lain.


Jika dilihat pada situasi kini, kebanyakan daripada masyarakat kita terutamanya para pelajar perlu dipaksa atau perlu ada daya yang menolak mereka untuk berfikir dan belajar. Daya tersebut umpama sebutir bom nuklear yang dijatuhkan oleh Amerika Syarikat di Nagasaki dan Hiroshima yang bertujuan untuk memaksa pihak Jepun mengalah dan berundur dari negara-negara taklukannya. Paksaan seperti inilah yang sentiasa diperlukan oleh anda semua untuk memulakan anda berfikir dan bertindak. Namun begitu, sudah tiba masanya anda meninggalkan paksaan tersebut dan menjadi self-directed dalam mengejar ilmu iaitu dengan mengambil initiatif sendiri dan bertanggungjawab terhadap pemilihan, pengurusan dan penilaian aktiviti pembelajaran anda sendiri.


Ilmu yang digapai sesebuah masyarakat akan menjamin pembangunan masyarakat dan negara berkenaan. Kebolehan dan keupayaan mendapatkan ilmu tersebut pula bergantung pada cara mendapatkannya iaitu melalui kemahiran befikir yang efisien dan selari dengan konteks pembelajaran pada zaman tersebut. Kemahiran berfikir yang melibatkan peringkat yang lebih kompleks seolah-olah menjadi pembimbing kepada kita dalam mengejar ilmu.

Friday, October 30, 2009

Revolusi Pendidikan Abad ke-21

Melihat anak-anak pada hari ini yang begitu asyik menghadap skrin komputer dan adakalanya sehingga tidak menyedari perkara disekelilingnya membuatkan ramai ibubapa merengus. Mereka seolah-olah telah ditarik ke satu alam yang tidak mungkin difahami oleh ibubapa seperti apa yang terjadi pada Alice dalam kisah dongeng kanak-kanak Alice in Wonderland. Segala yang terjadi sepanjang pengembaraan Alice di dunia tersebut begitu mustahil dan tiada siapa yang akan mempercayainya. Namun, pengembaraan Alice ini tidak lagi satu dongeng kerana ia telah melanda anak-anak kita kini. Jadi, sebagai ibubapa, adakah anda hanya melihat dan mendengus tanpa mahu memahami dunia mereka ini? Kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa dunia hari ini tidak lagi seperti yang pernah kita alami, tidak seperti yang kita tahu dan tidak seperti apa yang kita pernah bayangkan. Segalanya seperti begitu mustahil. Lantas, apa yang mampu anda lakukan sebagai ibubapa ialah berusaha memahami perubahan ini serta bermula untuk meletakkan diri dalam arus peralihan dunia agar anda tidak menjadi pak pandir di zaman moden.

Bagi sebahagian daripada kita, perubahan mungkin menjadi satu fobia kerana ia menuntut kita untuk meninggalkan kebiasaan dan beralih kepada satu pembaharuan. Tetapi sedarkah anda bahawa perubahan boleh terjadi dalam mana-mana aspek kehidupan, malah sejarah peradaban manusia membuktikan terdapat peringkat-peringkat perubahan dalam dunia kita. Dalam pendidikan pula, telah wujud serangkaian revolusi besar dalam teknologi pendidikan iaitu daripada menitipkan anak pada guru dimana ilmu disampaikan secara lisan, penciptaan tulisan, seterusnya teknologi pencetakan, teknologi elektronik sehinggalah kini memasuki revolusi multimedia dan internet.

Pada masa ini, pendidikan abad ke 21 telah menjadi satu revolusi baru yang harus ditempuhi oleh para pendidik, ibubapa, pelajar, malah masyarakat keseluruhannya. Dalam sedar atau tidak, dunia kita semakin dikuasai teknologi yang tidak terbatas pengaplikasiannya. Kita kini hidup dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, kompleks, kreatif, fleksibel dan tiada apa yang mustahil kesan daripada globalisasi dan kecanggihan teknologi yang melangkaui jangkauan. Menurut Dr. Douglas Kellner dari UCLA, revolusi teknologi dalam pendidikan ini akan memberi impak yang besar pada masyarakat jika dibandingkan dengan peralihan pendidikan secara lisan ke pencetakan. Jadi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pendidikan abad ke 21? Pendidikan abad ke 21 dipenuhi dengan permasalahan-permasalahan baru dan juga kemungkinan yang menarik serta turut merangkumi pelbagai aspek sosial, ekonomi, politik bukan sahaja dalam negara tetapi secara global. Paradigma pendidikan ini mendesak para pelajar supaya lebih kreatif, berdaya saing dan cerdas dari segi intelektual, emosional dan spiritual.

Walaupun secara teknikalnya kita telah hidup dalam abad ke 21, namun sistem pendidikan dan sekolah kita masih berada di takuk lama. Menjadi tanggungjawab kita secara kolektif untuk mewujudkan paradigma pendidikan ini dan ia bukan satu perkara yang mudah. Kayu ukur nya bukan pada lambakan komputer dan teknologi di sekolah, juga bukan dari sudut penggubalan dasar pendidikan baru yang hanya bersifat retorik. Justeru, kita harus melakukan satu anjakan pada sistem pendidikan kita terutamanya diperingkat persekolahan. Frasa ‘anjakan paradigma’ ini mungkin kedengaran agak klise, namun, sedarkah anda bahawa kita hanya sekadar menyebut dan merangka untuk melaksanakan anjakan tersebut. Apa yang terjadi selama ini sebenarnya adalah kita hanya baru mencuba melakukan anjakan paradigma tersebut. Hakikatnya, pendidikan kita masih belum berubah ke tahap yang sepatutnya.

Pendidikan hari ini seharusnya lebih menekankan pada proses pembelajaran berbanding proses mengajar serta perlu diorganisasikan dalam struktur yang fleksibel. Peralihan ini bukan sahaja perlu diwujudkan pada sistem pendidikan, tetapi juga dalam kalangan komuniti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang pendidikan ini merangkumi para pendidik, pelajar dan ibubapa. Bagi mewujudkan sekolah yang berasaskan pendidikan abad ke 21, peranan guru sebagai insan yang profesionnya paling sinonim dengan dunia pendidikan amat diperlukan untuk memulakan anjakan tersebut. Guru perlu mewujudkan proses pembelajaran yang kreatif dan mencerdaskan agar menjadi lebih efektif dan menarik. Secara tidak langsung, guru menjadi agen perubahan dalam usaha ini dan harus sentiasa responsif dan kritis terhadap perkembangan dan dinamika peradaban yang tidak berhenti kelangsungannya. Peranan guru yang dahulunya bertindak seakan-akan dispenser segala maklumat kini perlu diubah kepada orchestrator dalam pembelajaran dengan membantu para pelajar menapis dan merubah maklumat yang diperoleh kepada ilmu pengetahuan dan menukar ilmu pengetahuan kepada kebijaksanaan.

Para pelajar pula perlu menggunakan dengan sebaiknya teknologi yang ada agar tidak ketinggalan dalam literasi baru abad ke 21 ini yang merangkumi pelbagai aspek terutamanya literasi siber. Mereka perlu memahami bagaimana mengakses dan menggunakan teknologi bukan sahaja untuk tujuan hiburan seperti yang terjadi sekarang tetapi mereka perlu menjadi benar-benar media literate. Para ibu bapa dan masyarakat juga tidak seharusnya meminggirkan diri dalam merangka perubahan dalam pendidikan. Segala pembaharuan yang ingin dilakukan terhadap sistem pendidikan dan pembelajaran perlu difahami sepenuhnya dan bersedia mengadaptasikan perubahan tersebut dalam pendidikan anak-anak. Namun, bukan bermakna kita hanya mencedok beberapa perkara dalam abad ke 21 dan memasukkannya dalam teknik dan kaedah pendidikan abad ke 19 dan 20 kerana ia pastinya tidak akan berjaya. Anjakan ini perlu dilaksanakan secara mapan dan holistik. Abad ke 21 ini memerlukan generasi yang berpengetahuan, bukan hanya sekadar memindahkan maklumat dari individu kepada individu lain. Oleh itu, sekolah dan pendidikan kita perlu mencipta budaya ingin tahu dalam kalangan perlajar dan masyarakat secara amnya.