Friday, October 30, 2009

Revolusi Pendidikan Abad ke-21

Melihat anak-anak pada hari ini yang begitu asyik menghadap skrin komputer dan adakalanya sehingga tidak menyedari perkara disekelilingnya membuatkan ramai ibubapa merengus. Mereka seolah-olah telah ditarik ke satu alam yang tidak mungkin difahami oleh ibubapa seperti apa yang terjadi pada Alice dalam kisah dongeng kanak-kanak Alice in Wonderland. Segala yang terjadi sepanjang pengembaraan Alice di dunia tersebut begitu mustahil dan tiada siapa yang akan mempercayainya. Namun, pengembaraan Alice ini tidak lagi satu dongeng kerana ia telah melanda anak-anak kita kini. Jadi, sebagai ibubapa, adakah anda hanya melihat dan mendengus tanpa mahu memahami dunia mereka ini? Kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa dunia hari ini tidak lagi seperti yang pernah kita alami, tidak seperti yang kita tahu dan tidak seperti apa yang kita pernah bayangkan. Segalanya seperti begitu mustahil. Lantas, apa yang mampu anda lakukan sebagai ibubapa ialah berusaha memahami perubahan ini serta bermula untuk meletakkan diri dalam arus peralihan dunia agar anda tidak menjadi pak pandir di zaman moden.

Bagi sebahagian daripada kita, perubahan mungkin menjadi satu fobia kerana ia menuntut kita untuk meninggalkan kebiasaan dan beralih kepada satu pembaharuan. Tetapi sedarkah anda bahawa perubahan boleh terjadi dalam mana-mana aspek kehidupan, malah sejarah peradaban manusia membuktikan terdapat peringkat-peringkat perubahan dalam dunia kita. Dalam pendidikan pula, telah wujud serangkaian revolusi besar dalam teknologi pendidikan iaitu daripada menitipkan anak pada guru dimana ilmu disampaikan secara lisan, penciptaan tulisan, seterusnya teknologi pencetakan, teknologi elektronik sehinggalah kini memasuki revolusi multimedia dan internet.

Pada masa ini, pendidikan abad ke 21 telah menjadi satu revolusi baru yang harus ditempuhi oleh para pendidik, ibubapa, pelajar, malah masyarakat keseluruhannya. Dalam sedar atau tidak, dunia kita semakin dikuasai teknologi yang tidak terbatas pengaplikasiannya. Kita kini hidup dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, kompleks, kreatif, fleksibel dan tiada apa yang mustahil kesan daripada globalisasi dan kecanggihan teknologi yang melangkaui jangkauan. Menurut Dr. Douglas Kellner dari UCLA, revolusi teknologi dalam pendidikan ini akan memberi impak yang besar pada masyarakat jika dibandingkan dengan peralihan pendidikan secara lisan ke pencetakan. Jadi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pendidikan abad ke 21? Pendidikan abad ke 21 dipenuhi dengan permasalahan-permasalahan baru dan juga kemungkinan yang menarik serta turut merangkumi pelbagai aspek sosial, ekonomi, politik bukan sahaja dalam negara tetapi secara global. Paradigma pendidikan ini mendesak para pelajar supaya lebih kreatif, berdaya saing dan cerdas dari segi intelektual, emosional dan spiritual.

Walaupun secara teknikalnya kita telah hidup dalam abad ke 21, namun sistem pendidikan dan sekolah kita masih berada di takuk lama. Menjadi tanggungjawab kita secara kolektif untuk mewujudkan paradigma pendidikan ini dan ia bukan satu perkara yang mudah. Kayu ukur nya bukan pada lambakan komputer dan teknologi di sekolah, juga bukan dari sudut penggubalan dasar pendidikan baru yang hanya bersifat retorik. Justeru, kita harus melakukan satu anjakan pada sistem pendidikan kita terutamanya diperingkat persekolahan. Frasa ‘anjakan paradigma’ ini mungkin kedengaran agak klise, namun, sedarkah anda bahawa kita hanya sekadar menyebut dan merangka untuk melaksanakan anjakan tersebut. Apa yang terjadi selama ini sebenarnya adalah kita hanya baru mencuba melakukan anjakan paradigma tersebut. Hakikatnya, pendidikan kita masih belum berubah ke tahap yang sepatutnya.

Pendidikan hari ini seharusnya lebih menekankan pada proses pembelajaran berbanding proses mengajar serta perlu diorganisasikan dalam struktur yang fleksibel. Peralihan ini bukan sahaja perlu diwujudkan pada sistem pendidikan, tetapi juga dalam kalangan komuniti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang pendidikan ini merangkumi para pendidik, pelajar dan ibubapa. Bagi mewujudkan sekolah yang berasaskan pendidikan abad ke 21, peranan guru sebagai insan yang profesionnya paling sinonim dengan dunia pendidikan amat diperlukan untuk memulakan anjakan tersebut. Guru perlu mewujudkan proses pembelajaran yang kreatif dan mencerdaskan agar menjadi lebih efektif dan menarik. Secara tidak langsung, guru menjadi agen perubahan dalam usaha ini dan harus sentiasa responsif dan kritis terhadap perkembangan dan dinamika peradaban yang tidak berhenti kelangsungannya. Peranan guru yang dahulunya bertindak seakan-akan dispenser segala maklumat kini perlu diubah kepada orchestrator dalam pembelajaran dengan membantu para pelajar menapis dan merubah maklumat yang diperoleh kepada ilmu pengetahuan dan menukar ilmu pengetahuan kepada kebijaksanaan.

Para pelajar pula perlu menggunakan dengan sebaiknya teknologi yang ada agar tidak ketinggalan dalam literasi baru abad ke 21 ini yang merangkumi pelbagai aspek terutamanya literasi siber. Mereka perlu memahami bagaimana mengakses dan menggunakan teknologi bukan sahaja untuk tujuan hiburan seperti yang terjadi sekarang tetapi mereka perlu menjadi benar-benar media literate. Para ibu bapa dan masyarakat juga tidak seharusnya meminggirkan diri dalam merangka perubahan dalam pendidikan. Segala pembaharuan yang ingin dilakukan terhadap sistem pendidikan dan pembelajaran perlu difahami sepenuhnya dan bersedia mengadaptasikan perubahan tersebut dalam pendidikan anak-anak. Namun, bukan bermakna kita hanya mencedok beberapa perkara dalam abad ke 21 dan memasukkannya dalam teknik dan kaedah pendidikan abad ke 19 dan 20 kerana ia pastinya tidak akan berjaya. Anjakan ini perlu dilaksanakan secara mapan dan holistik. Abad ke 21 ini memerlukan generasi yang berpengetahuan, bukan hanya sekadar memindahkan maklumat dari individu kepada individu lain. Oleh itu, sekolah dan pendidikan kita perlu mencipta budaya ingin tahu dalam kalangan perlajar dan masyarakat secara amnya.