Monday, January 4, 2010

Budaya Perkongsian Ilmu

Hampir seminggu kita telah mengucapkan selamat tinggal pada tahun 2009 dan melangkah ke tahun baru 2010. Beranjak ke tahun baru semestinya membawa pengertian yang berbeza namun ternyata sungguh bermakna buat para pembaca semua. Ada yang memulakan tahun baru ini dengan kehidupan baru sebagai pelajar, memasuki alam pekerjaan dan membina empayar baru dalam bidang tertentu. Walau apa pun yang anda lakukan, semestinya setiap perkara itu disertai dengan satu iltizam yang menjadi pendorong utama untuk anda menjayakan impian yang anda dambakan. Tahun baru, semangat baru, iltizam baru. Seharusnya ia mampu menghamparkan satu permaidani yang sempurna bagi tahun 2010 ini.

Sesuatu yang harus anda lakukan sempena peredaran ke tahun 2010 ini ialah berusaha mencipta budaya baru dalam kehidupan anda. Budaya merupakan satu corak perlakuan manusia atau pemahaman yang dikongsi oleh setiap anggota masyarakat dalam sesebuah komuniti. Ia meliputi pemikiran, perucapan, kelakuan, norma, nilai dan kepercayaan yang bergantung pada kapisiti seseorang untuk belajar dan menurunkan pengetahuan untuk kejayaan generasi seterusnya. Mengubah sesuatu budaya bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bukan sahaja mengubah budaya yang pastinya amat sukar kerana ia sebenanarnya bermaksud melihat dunia melalui perspektif yang berbeza. Ia turut menuntut anda untuk saling bekerjasama dengan anggota masyarakat serta bersama-sama mengaplikasikan sesuatu perlakuan, kepercayaan dan norma-norma lain.

Salah satu budaya yang harus diterapkan dalam kehidupan meliputi budaya hebat dalam memperoleh ilmu dan pengetahuan kerana yang pasti, budaya baru dalam mengejar ilmu dapat meningkatkan lagi produktiviti anda sebagai seorang individu yang turut menyumbang kepada kejayaan bangsa dan negara. Apakah budaya yang harus anda cipta dalam mendapatkan ilmu dan menguruskan ilmu yang anda peroleh? Budaya perkongsian ilmu adalah satu budaya baru yang harus wujud dalam masyarakat kita bermula dari tahun 2010 ini. Bagi mewujudkan dan memperkayakan lagi budaya perkongsian ilmu ini dalam kalangan masyarakat, harus bermula dari seseorang individu. Justeru, apakah yang dimaksudkan dengan membina budaya perkongsian ilmu? Ia sebetulnya mengenai menjadikan perkongsian ilmu itu sebagai satu kebiasaan dalam masyarakat. Untuk membina perkongsian ilmu ini, apa yang anda perlu lakukan ialah memberi dorongan dorongan anda kepada orang lain untuk bekerja bersama secara efektif, bersedia bekerjasama dan juga rela untuk berkongsi. Hal ini penting untuk memastikan segala objektif anda atau organisasi yang anda sertai mampu dicapai dengan jayanya.
Dengan segala teknologi dan kemajuan bidang sains pada hari ini, ia bukanlah satu perkara yang mustahil. Gunakan segala teknologi yang ada untuk mencari ilmu serta berkongsi ilmu tersebut bersama orang lain demi kepentingan bersama.

Mungkin ada yang memandang negatif pada perkongsian ilmu kerana sikap paranoia mereka yang menganggap orang lain akan mencuri idea mereka. Berkongsi ilmu bukan bermaksud berkongsi secara membuta tuli dengan berkongsi segala idea anda. Dalam perkongsian ini juga anda perlu mempraktikkan penilaian yang bijak bagi memastikan ada berkongsi secara relevan. Pada masa inilah anda seharusnya menggunakan segala kemudahan yang ada terutamanya dalam aspek pendidikan seperti trend pendidikan kini yang semakin meluas pengaruhnya iaitu trend pendidikan webucation seperti program scoreA. Trend pendidikan ini yang dijangka meletup pada tahun 2010 ini secara tidak langsung sebenarnya menggalakkan para penggunanya berkongsi pengetahuan dan ilmu yang ada melalui pengaplikasian internet dan teknologi maklumat. Program ini merupakan pembelajaran secara output yang bukan sahaja memberi peluang kepada anda untuk mendapat alternative lain dalam mendapatkan ilmu selain input dari pembelajaran di sekolah.