Wednesday, December 9, 2009

*Menempa Kejayaan Melalui Mentaliti

Anda mungkin pernah mengalami kegagalan atau tidak pernah mengecapi kejayaan dalam apa jua yang anda lakukan. Lantas, apa yang terbit di fikiran tatkala kegagalan datang bertandang ialah “kenapa aku gagal?” atau “kenapa aku tak boleh berjaya seperti orang lain?”. Hari-hari yang berikutnya pelbagai persoalan lagi timbul di benak anda menangisi kegagalan tersebut. Namun ironinya, jarang sekali kita memikirkan sedalam-dalamnya bagaimana agar kegagalan tersebut tidak berulang lagi dan belajar dari kegagalan tersebut serta mencari cara untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik supaya kejayaan bisa dikecapi. Inilah kesilapan yang sering anda semua lakukan sehingga kegagalan sering menjadi teman baik anda. Apa yang harus anda tahu, kejayaan akan datang bukan hanya berdasarkan usaha yang berterusan atau sokongan orang sekeliling, tetapi juga berteraskan minda yang cerdas dan berkeupayaan tinggi. Kerana dengan minda inilah, anda membina strategi dan melaksanakan tugasan agar sejajar dengan matlamat tugasan tersebut dan beroleh kejayaan yang diimpikan.

Atas kesedaran tentang peranan besar minda terhadap seseorang individu, maka tidak hairan pihak kerajaan juga telah meletakkan satu fokus dalam usaha mencapai RMK 9 pada pembentukan minda yang sempurna melalui satu daripada lima teras Misi Nasional iaitu memupuk minda kelas pertama. Apakah yang dimaksudkan dengan minda kelas pertama? Ianya berteraskan kepada ketangkasan melaksanakan sesuatu tanggungjawab, ketepatan kerja yang dilakukan serta keberhasilan atau ‘output’ yang berkualiti. Usaha kerajaan ini mungkin kelihatan seperti lebih bertumpu pada penjawat-penjawat awam dalam sesebuah organisasi untuk melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. Ia bertitik tolak daripada kesedaran bahawa modal insan atau manusia merupakan sumber yang paling penting dalam sesebuah organisasi, malah modal insan menjadi penggerak organisasi dan penentu kejayaan pencapaian visi, misi, objektif dan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan. Maka, pembangunan modal insan ini pula memerlukan kepada minda kelas pertama supaya elemen mikro dalam masyarakat ini memberi implikasi makro terhadap pembangunan negara.

Namun demikian, sebagai seorang insan, anda semua juga harus mengaplikasikan budaya ini dalam kehidupan anda kerana saya percaya pemilikan minda kelas pertama ini tidak mengambil kira siapa anda dalam masyarakat atau apakah peranan anda kepada pembangunan negara. Apa yang paling utama ialah anda harus memiliki keupayaan minda yang baik agar mampu bersaing dengan orang lain atau menghadapi segala cabaran di alaf baru ini. Anjakan ini seharusnya bermula dari dalam diri seorang individu. Anda seharusnya menanamkan mentaliti yang sentiasa berlegar dalam pemikiran serta tindakan anda bahawa minda kelas pertama perlu wujud dalam diri sendiri kemudian diterapkan dalam keluarga dan selepas itu barulah mampu diteruskan secara formal di sekolah-sekolah, ataupun institusi-institusi pengajian tinggi.

Jadi, apakah yang harus anda lakukan untuk menjadi seorang insan yang memiliki minda kelas pertama? Perlakuan atau sikap sebagaimanakah yang boleh dikategorikan sebagai minda kelas pertama? Hakikatnya, untuk memiliki minda kelas pertama akan menjadi lebih mudah sekiranya anda telah bersedia dengan minda yang positif dan terbuka. Hal ini kerana sikap positif yang dimiliki memudahkan anda untuk menerima dan menambah ilmu pengetahuan atau kemahiran yang disalurkan pada anda. Ingatlah bahawa faktor kejayaan seseorang itu terletak pada kecemerlangan mindanya. Tinggalkan segala sikap atau perlakuan seperti melengah-lengahkan kerja, malas, tidak teliti dan perlakuan lain yang jelas sekali tergolong dalam sikap manusia yang mempunyai minda kelas ketiga.

Oleh yang demikian, sikap yang lebih positif harus dijadikan sebagai habit dalam diri anda semua. Bermulalah pada saat dan ketika ini dengan memupuk sikap bertanggungjawab, tekun menguasai segenap ilmu, sikap proaktif, berintegriti, kaya moraliti, tidak mementingkan diri, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik agar matlamat yang diimpikan dapat dicapai dengan cemerlang. Anda juga harus mempersiapkan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran, memupuk budaya membaca, memberi sumbangan ilmu, menguasai teknologi maklumat serta prointelektual. Dengan mentaliti yang besifat kelas pertama ini, nescaya mampu memenuhi keperluan pembangunan dalam konteks individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Apakah yang akan anda dapati sekiranya memiliki minda kelas pertama? Adakah ia tidak mampu dicapai dengan minda kedua, ketiga dan seterusnya? Jawapannya pelbagai kelebihan akan anda dapati dengan mentaliti kelas pertama dan TIDAK, anda tidak akan mendapati semua itu jika anda masih belum merubah paradigma pemikiran anda. Kenapa? Biar persoalan ini dijawab dengan persoalan berikutnya. Mampukah anda menguasai ilmu pengetahuan melalui teknologi terkini sekiranya anda malas dan tidak bersungguh-sungguh memahami pengaplikasian teknologi tersebut? Mampukah anda menghasilkan satu inovasi baru sekiranya anda kurang arif dengan konsep dan logiknya, tidak mahu menerima pandangan orang lain serta tidak teliti dalam pembinaannya? Mampukah anda menang dalam perdebatan jika pengetahuan anda begitu jumud, kurang yakin, kurang berintegriti dan tidak mampu berfikir dengan rasional dan pantas? Dan akhir sekali, mampukah anda mempertahankan Negara dan bangsa anda jika pertahanan anda tidak kukuh dari segi psikologi, moraliti, fizikal, infrastruktur dan teknologi. Tepuk dada, tanyalah minda anda.

Sesuatu yang juga perlu anda sematkan dalam benak ialah betapa ramainya antara kita yang bercita-cita untuk memiliki mentaliti seperti ini tetapi malangnya ramai juga yang masih terperangkap dalam mentaliti kelas ketiga yang bersifat konservatif dan pasif. Dalam sedar atau tidak, sebenarnya hanya satu garisan halus yang memisahkan antara mereka yang berjaya beralih kepada minda kelas pertama dengan mereka yang masih terperangkap dalam minda kelas ketiga iaitu sikap. Masalah sikap inilah yang menjadi tembok penghalang untuk seseorang merubah mentalitinya. Sikap yang lahir dari perasaan selesa dengan keadaan diri dan sekeliling membuatkan individu itu terus bergelumang dalam cara hidup dan pemikiran yang lama. Perasaan cepat berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan dan apa yang disediakan pada anda walaupun kurang berkualiti dan gagal mencapai matlamat sebenar boleh menarik anda untuk terus berdiri dalam tempurung yang sama ketika orang lain telah keluar dari tempurung tersebut dan membina tempurung lain yang jauh lebih luas dan selesa.

Memiliki minda kelas pertama bukan satu kemewahan yang tampak begitu sukar digapai. Pastinya ia mempunyai kos yang perlu dibayar untuk memilikinya namun bayarannya bukan terletak pada asset atau wang dalam simpanan anda. Tetapi, pada keazaman anda untuk berubah kepada sikap yang sesuai untuk memupuk minda kelas pertama juga kepada sikap yang menunjukkan minda anda berada pada taraf kelas pertama. Ia perlu dimulakan dengan azam yang kuat bagi memulakan era pembudayaan minda kelas pertama ini.

* (Subject to change)